Dunia Baru


Hari ini baru kesempatan untuk menulis laman ini disebabkan agak sibuk sedikit tentang tugasan harian dan program terkini. Apa pun untuk post kali ini ianya berkisar tentang kehidupan seorang bayi yang kini melihat dunia baru setelah 9 bulan sentiasa bersama ibunya selama mana ia dalam kandungan. Kelahiran cahaya mata sebersih kain putih menandakan bermulanya tanggungjawab kita membina watak dan apabila besar kelak bermula peranan guru sebagai pendidik untuk membina otak kanak-kanak tersebut.
Anak-anak adalah amanah Allah dan seharusnya kita wajib untuk mendidik mereka sejak dari azali lagi agar menjadi seorang yang berguna sebagai pemimpin yang memimpin generasi manusia segajat. Apabila kelahiran mereka ke dunia ini maka jadikan diri kita sebagai penghibur untuk mereka, memberikan belaian dan sokongan untuk mereka. Mereka beranggapan dunia baru ini satu keajaiban yang penuh dengan keseronokan untuk memberikan mereka satu kepuasan dalam menjalani siang dan malam yang tidak pernah mereka alami sebelum ini.
Anak-anak ibarat kain putih, mempunyai hati yang bersih dan belum pernah digores walau setajam pisau cukur. Hubungan kita dengan anak-anak tidak ada penghalangnya malah ia terus merasainya tanpa halangan, apa yang diterimanya itulah yang dialaminya hingga keintiman naluri amat terasa seolah-olah satu tarikan magnet yang begitu mempersonakan. Mendidik anak-anak apabila meningkat dewasa adalah satu pahala kesejateraan di dunia dan akhirat, berilah kasih sayang dan berkawanlah dengan kanak-kanak kita selagi mampu sebab mereka jugalah yang akan menjadi tunjang kepada kepimpinan masa depan generasi zaman berzaman.
Bersamalah membina impian untuk mereka, jauhilah mereka dari api neraka, didiklah mereka dengan iman sejati, latihlah mereka dengan akhlak yang mulia dan jauhilah mereka dari kesibukan hiburan yang tentunya merosakkan jiwa dan minda. Amalkan pemakanan yang sihat kerana dari pemakanan pembentukan minda dan watak sentiasa seiring dan sejalan. Bukan mudah mendidik minda, bukan senang mengubah otak inikan pula membina watak. Amalan dan corak kehidupan kita amat memainkan peranan yang penting dalam membentuk anak-anak dari mula mengenali dunia hinggalah semua yang mereka rasai lenyap dari pandangan.
“Mendahulukan dunia dan melenyapkan Syurga, maka jatuhlah mereka ke dunia yang penuh dengan pembalasan, jagalah mereka dan jaga tingkah laku agar tidak disimbah kepahitan,jagalah mereka dengan akal yang tinggi agar keegoaan tidak menjelma. Jaga diri jaga perwatakan, ilmu ditambah iman dipupuk semoga hati bersih sentiasa bersama. Amin..

Notepad & Buku Nota


Bila masa bertukar ganti, bila hari sili berganti, bila semalam cerita lain, adakah hari ini cerita yang sama? 24 jam masa berlalu, dari pagi hingga ke malam, setiap detik jarum tik tik tik tik, tandanya diri semakin berilmu. Adakah kita menggunakan sebaik mungkin masa yang diperuntukan? Masa dikejar cepat berlalu, masa terhenti bila menunggu dan dalam penantian, adakah setiap tugasan telah diatasi? Berjayakah kita membentuk diri untuk hari ini?

Disaat ini bila anda membacanya, sesungguhnya hari ini lebih baik dari semalam, semalam membayangkan impian, semalam membayangkan kejayaan, hari ini perubahan dikecapi hasil cita-cita semalam. Apa yang saya ingin sampaikan, berapa ramai diantara kita lebih baik dari semalam? Adakah sistem minda kita digunakan dengan sepenuhnya atau hanya menunggu perubahan datang menjelma tanpa tindakan susulan. Berapa ramai antara kita menggunakan kuasa minda untuk memiliki sesuatu dan menyelesaikan perkara dengan cara mudah dan lebih sistematik. Hendak dihafal, mudah terlupa inikan pula untuk mengingat, pasti segala tugasan tetap ada kesinambungan untuk esok hari akhirnya kita berjalan dengan paras air yang sentiasa melambatkan pernafasan dan terumbang ambing seperti dipukul ombak.

Menjadikan juadah semakin sedap, hidangan Notepad dan buku nota tetap dihati, menulis fakta mengikut kronologi agar resipi sentiasa dimiliki.
1. Tuliskan tugasan untuk hari ini, dahulukan yang penting dan selesaikan satu persatu.
2. Berikan masa setiap tugasan untuk diselesaikan dan bahagikan masa anda dengan perkara lain.
3. Displinkan diri, tetapkan masa dan selesaikan tugasan sehingga hasilnya dapat dilihat. Fokuskan turutan minda dengan bermula nombor 1 kemudian nombor seterusnya.
Tidak ada rahsia, resipinya mudah dan hasilnya ketenangan dalaman dan luaran. Cara yang mudah dan senang namun tetap efektif.

Sepasang Kasut


Tidak ramai yang akan berkata kaki anda dengan orang lain adalah sama, tetapi ramai akan terpegun apabila melihat sepasang kasut yang anda beli dan memakainya dihari pertama. Kaki yang sentiasa bersama anda tetapi ianya seakan tidak dipeduli bahkan orang lain atau teman rapat anda juga tidak pernah mempersoalkan samada kaki anda bersaiz kecil,besar,lawa dan sebagainya. Tetapi ia hanya akan dipersoalkan apabila kaki anda berbau busuk atau tidak memakai stokin apabila berkasut. Sesungguhnya kaki anda adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya dan ini belum termasuk dengan angota badan yang lain. Selalu yang kekal bersama badan anda sering tidak dipedulikan tetapi yang bersifat sementara akan diagung-agungkan malahan akan dijaga dengan baik dan ada yang sanggup mengeluarkan ribuan ringgit untuk mengantikannya dengan yang baru.

Persoalannya, Apa akan terjadi sekiranya yang diidamkan tidak menjadi kenyataan? DAN apa pula akan terjadi sekiranya apa yang anda pelajari hanya menuju jalan yang buntu? Menjalani kehidupan dengan membina watak dan mengubah otak kemudian memfokuskan perkara yang paling hampir yang sentiasa menemani anda disetiap masa, ketika dan waktu membolehkan anda menggunakan sepenuhnya kuasa minda dengan mendengar, menyelami, melihat dan mengikuti kemana arah naluri dalaman, dan ini sudah pasti akan membimbing anda kejalan kemenangan.

Bayangkan disaat anda mengecapi kemenangan, anda akan mengetahui betapa pentingnya sepasang kaki termasuk anggota badan yang lain bagi membantu dan mengenali siapa diri anda yang sebenar, bukan itu sahaja malahan anda juga akan menikmati kelebihan dan akan sentiasa menghargai setiap perkara yang ada didepan mata, sudah pasti anda berusaha untuk memilikinya berbekalkan kelebihan dalaman, luaran dan keperibadian yang tinggi agar segala impian akan dapat dikecapi. Anda kini lebih mengetahui bahawa, anda sebenarnya boleh memiliki dan mampu berusaha seperti yang dilakukan oleh orang lain agar orang akan melihat bukan sahaja kaki anda malahan kasut anda yang sungguh memukau kepada sipemerhati.

Hebat di dalam hebat di luar, cantik di dalam cantik di luar. Kebolehan anda akan memperlihatkan kaki anda dan kasut sungguh hebat,anda bukan sahaja genius, malah seorang yang mempunyai keterampilan dari pelbagai sudut. Ia semua bermula dari diri sendiri. Ayuh, bongkarlah resipi anda dengan mengenali diri, mempercayai diri, menjadi inspirasi kepada diri sendiri dan belajar mencintai diri. Kenapa? Setiap tag yang anda lihat ini mempunyai elemen yang tersendiri dan kekuatan untuk membantu anda melayari perjalanan hidup dan mencapai impian walaupun ianya penuh dengan persaingan. Berjaya dengan mengambil contoh yang paling hampir dengan anda, berjaya dengan kehebatan diri sendiri, berjaya dengan membongkar kekuatan dalaman. Akhirnya kejayaan sebenarnya berada didepan mata anda.

Ucapan untuk sahabat baru


Salam sejatera,

Selamat datang ke laman blog yang menekankan tentang pendidikan ICT, perkongsian maklumat tentang perniagaan internet dan belajar mengenali potensi diri. Laman ini menitikberatkan tentang kredibiliti saya untuk membantu, mencari satu keperluan yang anda kehendaki dan memberikan pendapat tentang keinginan anda untuk mencari sesuatu yang boleh memberikan anda satu kepuasan dalam diri.

Ini adalah untuk anda,
1. Kepada yang baru melawati laman ini, saya ucapkan Selamat datang dan Salam berkenalan.
2. Kepada sesiapa yang beranggapan Laman ini banyak kekurangan, Saya minta maaf dan cuba memberikan yang terbaik dimasa akan datang.
3. Kepada yang menjadi subscriber saya, namun lewat untuk saya memberikan maklumbalas, sekali saya mohon maaf atas kesibukan perkara lain.
4. Kepada anda memberi salam kepada saya walaupun dalam cyber maya, saya sambut dengan penuh kemesraan dan salam yang tidak terhingga.
5. Kepada anda yang mempunyai idea, isilah ruang ulasan(komen) yang saya sediakan.
6. Kepada anda yang baru bersama saya dalam laman ini, Jadilah rakan saya dalam Google Friend Connect.
7. Kepada anda yang pernah mengenali saya sewaktu zaman persekolahan atau anda pernah menjadi anak murid saya sewaktu dulu, jangan lupa hubungi saya.
8. Kepada anda yang memberi 3R kepada saya, saya membalas kembali 3R khas untuk anda. Apa 3R? Anda masih ingat rancangan 3R di TV? Tak pe, cuba imbas kembali memory anda.
9. Kepada anda yang mungkin tidak serasi dalam laman ini, tak pe. Anda mungkin betul sebab masih banyak laman berinformasi seperti ini.
10. Kepada anda yang diam dan fikiran jauh, saya anggap anda seorang yang berkaliber. Diam-diam ubi berisi.
11. Kepada anda yang memasuki laman ini dan tersenyum, saya anggap anda seorang yang romantis.
12. Kepada anda yang tidak banyak bercakap, saya anggap anda seorang pencetus idea bernas.
13. Kepada anda yang banyak cakap, kontrol sikit ye.
14. Kepada anda yang memerlukan khidmat saya, saya akan memberikan yang terbaik dengan 110%. Kepada anda yang pernah mendapatkan khidmat saya, Saya harus meningkatkan prestasi dan kelemahan dalam diri.
15. Kepada yang memahami saya, saya faham.
16. Kepada anda yang ingin tinggalkan laman ini, saya ucapkan semoga kita berjumpa lagi dan jangan lupa datang kembali ke laman ini. Walaupun kita tidak pernah bersua, saya amat gembira walaupun hanya sesaat…