Samada kita dari keluarga yang besar atau sederhana pasti tidak akan terlepas menghadapi situasi seperti ini. Adakah kita akan menyalahkan perbuatan mereka atau menyalahkan takdir semata-mata?Mengapa? kenapa? Argh… saya geram,tidak suka dan menyampah! Bagi yang pernah mengalami keadaan seperti ini, emosi anda sangat hampir dengan perasaan yang saya alami namun jika anda tidak mampu untuk menanganinya ini bukanlah kuasa anda untuk memperbetulkan apa yang sedang terjadi.
Daya ketahanan minda perlu dipertingkatkan supaya kita tidak tenggelam dengan arus persekitaran yang sedang menghancurkan kita lalu hanyut dan tenggelam dimakan lautan dan ombak yang ganas. Harus diingat, sebagai manusia biasa kita tidak akan lari dari kelalaian,kesilapan yang mungkin berkaitan dengan masa masa lampau sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan keluarga yang sedang mencari kesederhanaan dalam liku-liku hidup. Dalam keadaan seperti ini, garisan kritikal sering tidak dipeduli dan hanya bertindak mengikut perasaan semata-mata mengakibatkan kita akan terperangkap ditengah-tengah menjadikan diri sendiri akan merasa panik dan akan menjurus kepada situasi untuk melepaskan diri dari kepungan peperangan tersebut. Kuatkan kuasa minda anda dan jangan sekali-kali menyimbah api dengan minyak tanah.
Apabila situasi ini sering berlaku, maka ada segelintir kita atau remaja akan bertindak diluar batasan iaitu ‘keluar dari situasi sebegini’ dengan cara meninggalkan keluarga mengikut hati dan perasaan yang kotor. Lari dari masalah tidak akan meyelesaikan masalah ini dan adalah lebih baik jika anda keluar untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja yang boleh membantu dan memberikan nasihat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jangan membenci mereka,jangan menghina mereka. Mungkin ada kekurangan cara didikan namun anda sebagai generasi akan datang perlulah belajar dan jangan sampai apa yang anda lihat sekarang dijadikan sebagai azimat untuk anak-anak anda sebagai bekalan didikan suatu hari nanti. Ingatlah mereka tetap ibubapa yang melahirkan anda dan yang menjadikan siapa diri kita sekarang.
Kejayaan anda adalah dari ibubapa, kemenangan anda adalah didikan mereka. Ampunilah dan belajarlah untuk memaafkan diri serta orang lain. Mungkin suasana sekarang amat sukar namun kita sebagai anak dari zuriat ibubapa jangan sekali-kali menyimpan dendam dan durhaka kepada kedua ibubapa anda. Biarpun banyak kelemahan namun kita sebagai anak harus sentiasa berterimakasih sehingga kita boleh melihat dunia yang mungkin tidak pernah terfikir betapa indahnya dunia ini walaupun ianya hanya sementara. Mungkin setiap apa yang berlaku mempunyai sebabnya, cubalah anda selidik dan analisis satu persatu. Cuba fahami erti kehidupan anda,tanya dan luahkan segala apa yang ada dalam lubuk hati anda. Sebenarnya apabila anda berbuat demikian, anda akan lebih bijak berfikir dan menjadi matang serta mempunyai nilai moral yang tinggi biarpun dengan usia muda tetapi sudah mampu membawa dan mengharungi ombak yang sering menganas di tepian pantai. Jadilah kuat,jadilah benteng umpama batu ditepian pantai yang menghalang ombak dari menghanyutkan tebing-tebing kecil.
Sebagai anak, sentiasa fikirkan masa depan anda, apakah dengan situasi sebegini akan menghancurkan kejayaan anda? atau anda harus biarkan situasi tersebut melenyapkan segala impian sedangkan anda mampu untuk mengharunginya. Apa yang berlaku pasti ada hikmanya dan pengajaran yang perlu anda cungkil dan olahkan sebagai kekuatan dalaman anda. Mungkin dengan apa yang berlaku ianya telah membentuk siapa diri anda yang sebenar dan ingatlah ALLAH tidak akan memberi kita percubaan sekiranya kita tidak mampu untuk mengharunginya. Pengalaman mematangkan pemikiran anda. Sekian.